"Pembuka Kota Konstantinopel"
By: Abang McD
Setelah ditabalkan sebagai Sultan Turki Uthmaniyyah yang baharu, Sultan Mehmed Al Fateh terus melakukan rencana untuk melancarkan kempen penaklukan ke atas kota Konstantinopel. Beliau merasakan Empayar Turki Uthmaniyyah yang begitu luas belum tentu kukuh selagi kota Konstantinopel belum berjaya ditakluki. Tambahan lagi, Empayar Rom Byzantine sering kali melakukan provokasi dan menghasut beberapa menteri (Pasha) dan kerabat diraja Turki Uthmaniyyah untuk memberontak dan menganggu pemerintahan Sultan. Oleh itu, Sultan Mehmed Al Fateh berpendapat tiada lagi cara lain selain menakluki kota Konstantinopel sekali gus menamatkan pemerintahan Empayar Rom Byzantine yang berusia berabad lama. Kejatuhan kota Konstantinopel juga membuka ruang kepada sumber ekonomi dan perdagangan di mana kota Konstantinopel merupakan pertembungan antara benua Eropah dan Asia. Sekali gus ia memberi manfaat dan keuntungan berlipat kali ganda kepada ekonomi Empayar Turki Uthmaniyyah.
Rasulullah s.a.w pernah bersabda bahawa pasukan tentera Islam akan menakluki kota Konstantinopel adalah sebaik – baik tentera yang dipimpin oleh sebaik – baik raja. Peperangan dan konflik antara umat Islam dan Rom Byzantine bukanlah sesuatu yang baru malah ia telah berlaku ketika Rasulullah s.a.w masih lagi hidup di mana baginda Rasulullah s.a.w telah menghantar pasukan tentera Islam untuk berjihad melawan Byzantine dalam Pertempuran Muktah. Beberapa orang Sahabat Rasulullah s.a.w seperti Sayyidina Jafaar bin Abi Thalib r.a., Sayyidina Zaid Bin Harithah r.a., Sayyidina Abdullah ibn Rawhah telah syahid dalam peperangan tersebut. Usaha untuk melawan Byzantine telah diteruskan oleh beberapa para Sahabat s.a.w seperti Sayyidina Muawiyah bin Abi Sufyan r.a. berusaha untuk menakluki kota Konstantinopel. Sayyidina Abu Ayyub Al Ansari antara para Sahabat Nabi s.a.w yang menyertai kempen penaklukan kota Konstantinopel. Beliau telah meninggal dunia akibat sakit tua semasa menyertai kempen tersebut dan dikebumikan di kota Konstantinopel. Selepas Sultan Mehmed Al Fateh berjaya menakluki kota Konstantinopel, Sultan Mehmed Al Fateh membina sebuah mausolea (makam) untuk Sahabat Nabi s.a.w iaitu Sayyidina Abu Ayyub Al Ansari r.a bagi memperingati jasa beliau untuk menakluki kota Konstantinopel ketika zaman Bani Umayyah.
Sebelum melaksanakan kempen penaklukan kota Konstantinopel, Sultan Mehmed Al Fateh bukanlah seorang yang suka terburu – buru dan beliau melakukan kajian secara teliti dan mendalam bagi mengetahui kelemahan kota Konstantinopel. Tambahan lagi, beliau juga mengkaji punca kegagalan ayahanda dan nenek moyang beliau dahulu dalam usaha untuk menakluki kota Konstantinopel. Begitu juga dengan usaha para Khalifah Islam terdahulu seperti Sayyidina Muawiyah bin Abi Sufyan r.a dan Khalifah Harun Ar Rasyid juga gagal menakluki kota Konstantinopel. Kaisar Constantine XI Palaiologos telah menawarkan perjanjian damai dengan Sultan Mehmed Al Fateh dan beliau bersetuju menerima syarat – syarat yang termeterai dalam perjanjian tersebut termasuklah mengirim sejumlah wang untuk Sehzade Orhan yang merupakan bapa saudara Sultan Mehmed Al Fateh yang memohon suaka politik daripada Kaisar Constantine XI Palaiologos. Sultan Mehmed Al Fateh mengambil kesempatan diatas perjanjian damai bagi menyempurnakan segala rancangan untuk menakluki kota Konstantinopel.
Kemangkatan Sultan Murad II merupakan satu berita yang gembira bagi raja – raja Kristian di Eropah termasuklah Maharaja Trebizond kerana beranggapan Sultan Mehmed Al Fateh seorang yang lemah dan tiada mempunyai sebarang pengalaman urusan pemerintahan negara. Selain itu, mereka juga beranggapan Sultan Mehmed Al Fateh seorang yang penakut dan pengecut berbanding ayahandanya kerana beliau menerima perjanjian damai dengan Kaisar Byzantine. Oleh itu, kerajaan Republik Venice telah menghantar dutanya kepada Sultan Mehmed Al Fateh untuk menawarkan perjanjian damai. Selain itu, John Hunaydi yang merupakan musuh seteru Empayar Turki Uthmaniyyah telah juga turut menawarkan perjanjian dengan beliau. Perjanjian damai ini sebenarnya banyak memberi keuntungan kepada Sultan Mehmed Al Fateh kerana masa – masa yang diperuntukkan akan memberi beliau ruang untuk melakukan persiapan untuk kempen penaklukan Kota Konstantinopel. Selain itu, politik dalaman Empayar Turki Uthmaniyyah sebenarnya tidaklah diketahui oleh negara – negara Kristian di Eropah dan faktor inilah mereka beranggapan kenaikkan takhta Sultan Mehmed Al Fateh adalah sesuatu ancaman yang tidak perlu dihiraukan.
Kempen penaklukan keatas kota Konstantinopel juga amat sesuai dilakukan kerana berlakunya peristiwa – peristiwa penting di Eropah yang membuka peluang kepada kempen tersebut. Antaranya adalah Perancis yang ketika itu diperintah oleh Raja Charles VII baru sahaja pulih akibat Perang Seratus Tahun dan keadaan krisis dalaman politik di Perancis iaitu pertikaian Raja Charles VII dengan sepupunya, Duke Burgundy. Selain itu, Scotland dan England pula tidak berminat untuk meneruskan Perang Salib keatas Turki kerana beranggap tiada kepentingan kepada mereka dan kawasan yang terlalu jauh. Manakala, Raja Castile dan Raja Portugal pula pada masa itu sibuk berperang dengan Amir – Amir Islam di Sepanyol. Sultan Mehmed Al Fateh memahami keadaan isu geopolitik pada ketika itu dimana pergolakan yang berlaku di Eropah adalah masa yang sesuai dan tepat untuk melaksanakan kempen penaklukan kota Konstantinopel. Sultan Mehmed Al Fateh juga turut menawarkan perjanjian damai dengan Paus Nicholas V di Vatikan.
Tidak lama kemudian, Amir Ibrahim, Gabenor dari Karaman telah memberontak kerana ingin melepaskan diri daripada penguasaan Empayar Turki Uthmaniyyah. Sultan Mehmed Al Fateh Bersama dengan Ishak Pasha turun sendiri untuk memerangi pemberontak tersebut dan berhasil menundukkan pemberontakan Amir Ibrahim. Amir Ibrahim tidak mampu berbuat apa dan hanya mampu tunduk untuk diminta belas kasihan. Sultan Mehmed Al Fateh segera mengampunkan Amir Ibrahim kerana berasa kasihan dengan beliau dan meminta beliau untuk tunduk seumur hidupnya kepada Sultan Mehmed Al Fateh.
Sultan Mehmed Al Fateh telah mengambil kesempatan dengan membangun benteng di Bosphorus dan ini menimbulkan rasa gerun kepada Kaisar kerana banteng tersebut adalah pertahanan Empayar Turki daripada serangan yang datang daripada Eropah. Namun, Sultan Mehmed Al Fateh telah menghantar mesej kepada Kaisar mengenai tujuan banteng tersebut dibangunkan adalah untuk menjaga kepentingan dan pertahanan kerajaannya semata – mata. Sultan Mehmed Al Fateh berkata kepada Kaisar dalam mesejnya iaitu “Akulah Sultan Mehmed Han yang amat berbeza dengan para pendahulu Sultan. Aku akan tidak akan meninggal pekerjaanku apabila memulainya”. Ketegasan Sultan Mehmed Al Fateh telah menimbulkan rasa gentar kepada Kaisar. Benteng Bosphorus telah siap sepenuhnya pada tahun 1425 yang dikenali sebagai “Rumeli Hisar”. Mana – mana kapal dagang yang melalui Rumeli Hisar akan dikenakan cukai. Cukai perdagangan yang dikenakan cukup untuk perbelanjaan bagi menampung keperluan peperangan ketika kempen penaklukan kota Konstantinopel. Selain itu, Sultan Mehmed Al Fateh juga mengenakan ufti yang tinggi dibawah wilayah jajahan Empayar Turki Uthmaniyyah.
Sultan Mehmed Al Fateh juga mengetahui kelemahan pertahanan kota Konstantinopel adalah disebabkan perselisihan fahaman dan mazhab antara Ortodoks dan Roman Katholik di Vatikan. Sifat fanatik agama yang melampau menjadikan antara Paus di Vatikan tidak memberi bantuan ketenteraan kepada Kaisar untuk mempertahankan kota Konstantinopel. Apabila penduduk kota Konstantinopel mendengar khabar Kaisar meminta bantuan daripada Paus di Vatikan, mereka merasa marah dan kecewa kerana menganggap Paus di Vatikan menjual agama dan kemerdekaan Ortodoks kepada Paus di Vatikan. Begitu juga golongan pembesar di Kota Konstantinopel juga tidak bergembira dengan keputusan Kaisar sehingga mereka lebih rela diperintah oleh bangsa Turki daripada bangsa Rom di Vatikan.
Pada tahun 1453, Sultan Mehmed Al Fatih memimpin 100,000 bala tentera Turki untuk mengepung kota Konstantinopel. Selama 40 hari kepungan kota tersebut sehingga ada yang mula berputus asa. Sultan Mehmed Al Fateh mendapat satu akal untuk memindahkan 70 buah kapal melalui daratan pada waktu malam. Pada siang hari, penduduk kota Konstantinopel terkejut dengan 70 buah kapal sudah melepasi rantai besar yang menjadi perlindungan kota Konstantinopel. Penduduk kota Konstantinopel mula berputus asa lebih – lebih lagi banteng pertahanan kota tersebut berjaya dimusnahkan oleh meriam yang amat canggih dan besar pada ketika itu. Meriam tersebut dicipta oleh seorang lelaki berbangsa Greek iaitu Urban.
Kaisar telah melihat keadaan kota Konstantinopel tiada lagi harapan untuk dipertahankan lagi. Maka, beliau sendiri turun ke medan peperangan supaya mati dalam keadaan bermaruah. Akhirnya, Kaisar itu sendiri terkorban dan jenazah beliau ditemui antara gelimpangan mayat – mayat tentera Rom Byzantine. Pada 29 Mei 1453, kota Konstantinopel secara rasmi jatuh ke tangan Sultan Mehmed Al Fateh. Sultan Mehmed Al Fateh bersama – sama tentera – tentera Janissaries dan para Wazir memasuki gerbang masuk utama kota Konstantinopel. Penduduk kota Konstantinopel pada ketika itu berada dalam ketakutan dan hanya berpasrah kepada nasib. Namun begitu, Sultan Mehmed Al Fateh bukanlah seorang yang zalim dan beliau mengampuni dan membebas kesemua penduduk kota Konstantinopel. Gereja Haghia Sophia yang menjadi lambang kebesaran agama Ortodoks secara rasmi ditukar kepada Masjid Haghia Sophia.
Wazir – wazir Kaisar pada ketika itu yang masih hidup juga diampunkan oleh Sultan Mehmed Al Fateh. Namun, Sultan Mehmed Al Fateh masih mencurigai kesetiaan mereka lalu menguji mereka dengan membawa mayat Kaisar yang terkorban. Notaras secara berpura – pura meraung dan meratapi kemangkatan Kaisar dengan harapan Sultan Mehmed Al Fateh memuji beliau. Namun, Sultan Mehmed Al Fateh bukanlah seorang yang bodoh lalu menanyakan kepada Notaras adakah beliau turut bersama – sama dengan Kaisar berjuang melawan tentera Turki. Jawapan yang diberikan adalah tidak. Ini menyebabkan Sultan Mehmed Al Fateh berasa marah lalu memerintahkan orang suruhannya memenggal kepala Notaras selaku Wazir Besar Kaisar. Sultan Mehmed Al Fateh memerintah beberapa pembesar Kaisar yang masih ada disitu agar mengebumikan mayat Kaisar mengikut adat resam diraja Byzantine. Beliau juga memerintah agar tentera Islam tidak boleh menganggu orang Kristian dan memberi kebebasan kepada orang Kristian untuk melakukan ibadat mereka tanpa sebarang gangguan.
Kejatuhan Kota Konstantinopel betul – betul menggemparkan dunia Kristian di Eropah sehingga terdapat ura – ura yang mengatakan Sultan Mehmed Al Fateh akan memimpin bala tentera untuk menyerang Sicily. Kardinal Barisson menulis surat kepada Doge Venice mengenai kejatuhan kota Konstantinopel. Dalam surat itu mengatakan kota Konstantinopel yang tersergam indah telah dirosakkan oleh orang Turki yang gasar dan keadaan ini akan merebak ke seluruh benua Eropah jika tiada tindakan yang diambil. Kejatuhan kota Konstantinopel juga menyebabkan Maharaja Rom Suci, Frederick III bersedih apabila menerima khabar tersebut Penasihat beliau, Bishop Aenes Silvio Piccolomini (bakal Paus Pius II) telah menasihati beliau untuk mengambil tindakan segera untuk melancarkan Perang Salib keatas Empayar Turki Uthmaniyyah. Paus Nicholas V juga menyeru seluruh orang Kristian agar bersatu untuk menentang musuh umat Kristian yang abadi, Empayar Turki Uthmaniyyah. Paus Nicholas V menggelar Sultan Mehmed Al Fateh dengan gelaran “Anak Syaitan”. Namun tiada kesatuan dikalangan umat Kristian menyebabkan kempen Perang Salib tergendala dan akhirnya Paus Nicholas V telah meninggal dunia pada 14 Mac 1455 tanpa sempat merealisasikan serangan keatas Empayar Turki Uthmaniyyah. Paus Calixtus III telah menggantikan Paus Nicholas V pada 20 April 1455.
Kejatuhan kota Konstantinopel juga memberi kesan yang hebat kepada Republik Venice kerana semua barang dagangan mereka di kota Konstantinopel, Albania dan Greek dirampas oleh kerajaan Turki Uthmaniyyah. Pada bulan Julai 1453, kerajaan Republik Venice mengambil tindakan untuk mempertingkatkan pertahanan mereka di sebuah kota di Greek berada dibawah penguasaan mereka iaitu kota Negroponte bagi mengelak ancaman tentera Turki Uthmaniyyah. Namun begitu, kerajaan Republik Venice juga mengambil langkah untuk berdamai supaya Empayar Turki Uthmaniyyah tidak mengganggu kedaulatan mereka. Oleh itu, kerajaan Republik Venice telah menghantar delegasi kepada Sultan Mehmed Al Fateh pada 17 Julai 1453. Oleh itu, Sultan Mehmed Al Fateh memberi jaminan keselamatan dan bebas untuk melalui laluan perdagangan tanpa sebarang ganggu kepada pedagang Venice. Delegasi Venice, Giacomo de’ Languschi juga sempat memuji kehebatan Sultan Mehmed Al Fateh sama seperti Alexander the Great.
Pada tahun 1454, Sultan Mehmed Al Fateh telah melancarkan serangan keatas Serbia untuk merampas kembali wilayah Serbia yang dikembalikan kepada Despot George Brancovic dalam Perjanjian Erdine pada tahun 1444. Namun serangan Sultan Mehmed Al Fateh berjaya dipatahkan oleh John Hunaydi dengan bala tentera Hungary. Tahun selepas itu, Sultan Mehmed Al Fateh melancarkan semula serangan ke atas Serbia dan berjaya merampas bandar Serbia iaitu Novo Brdo yang dikatakan sumber perlombongan emas dan perak. Selepas itu, Sultan Mehmed Al Fateh mengarah armada tentera laut Turki Uthmaniyyah dibawah pimpinan Hamzah Bey untuk menyerang pulau – pulau Aegean iaitu Nisyros, Kalymnos, Kos dan Chios. Namun begitu, beberapa buah kapal perang telah karam ketika dalam perjalanan ke pulau Chios menyebabkan Sultan Mehmed Al Fateh marah dengan Hamzah Bey lalu memecat beliau dan menggantikan posisi beliau kepada Yunus Bey. Pada bulan November 1453, Yunus Bey berjaya menakluki koloni Genoese iaitu Nea Phokia. Begitu juga selepas 6 minggu daripada serangan keatas Nea Phokia, beberapa buah koloni Genoese juga turut jatuh ketangan tentera Turki dan ini memberi peluang kepada Sultan Mehmed Al Fateh memonopoli sumber perlombongan alum. Ini menyebabkan kerajaan Genoese telah mengalami kerugian besar akibat kehilangan koloni – koloni Genoese yang jatuh ke tangan Sultan Mehmed Al Fateh.
Selepas berjaya mengawal beberapa buah koloni Genoese, Sultan Mehmed Al Fateh merancang untuk melancarkan kempen penaklukan keatas Serbia dan Belgrade yang dianggap oleh beliau musuh abadi Turki Uthmaniyyah di Eropah. Pada musim sejuk tahun 1455, Sultan Mehmed Al Fateh menyerang Belgrade dan beliau merancang untuk menghantar armada ke Danube dimana beliau akan bertemu dengan askarnya untuk menyerang kota Belgrade. Paus Callixtus telah menyeru seluruh umat Kristian untuk menyahut semboyan suci atas nama Salib bagi menghadapi serangan tentera Turki Uthmaniyyah pada 1 Mac 1456.
John Hunaydi menyahut seruan Paus Callixtus terus memimpin bala tentera Hungary untuk mempertahankan kota Belgrade daripada serangan tentera Turki Uthmaniyyah. Sultan Mehmed Al Fateh telah memperhebatkan lagi serangan artileri keatas kota Konstantinopel. Namun begitu, Sultan Mehmed Al Fateh dan bala tentera Janissaries telah dikepung oleh tentera Salib yang dipimpin oleh Fra Capistrano. Ketika kepungan tersebut, Sultan Mehmed Al Fateh telah mendapat kecederaan ditangan kiri. Oleh itu, Sultan Mehmed Al Fateh telah kembali ke Erdine bersama – sama bala tentera Janissaries. Umat Kristian telah meraikan kemenangan dengan gembira dengan pengunduran Sultan Mehmed Al Fateh dari kota Belgrade.
Sultan Mehmed Al Fateh tinggal di Istana Erdine untuk memulih kecederaan ditangan kiri beliau dan menyusun kembali strategi peperangan. Sementara itu, Paus Callixtus mengambil kesempatan untuk memberi arahan kepada Cardinal Ludovico menyerang armada tentera laut Turki Uthmaniyyah di Aegean. Paus Callixtus menulis surat kepada Cardinal Ludovico berharap dengan kempen yang dilancarkan ini sebagai langkah permulaan untuk merampas semula kota Konstantinopel dan Tanah Suci Baitulmuqqadis seterusnya menghapuskan agama Islam secara total. Tindakan Paus Callixtus telah menimbulkan provokasi dan menyebabkan Sultan Mehmed Al Fateh berasa murka sekali. Bagi menebus kekalahan yang memalukan di Belgrade, Sultan Mehmed Al Fateh telah memerintah Omer Bey untuk menakluki kota Athens pada tahun 1456. Athens pada ketika itu diperintah oleh Dinasti Acciajuoli dari Republik Florentine. Pasukan tentera Omer Bey menyerang Athens di Acropolis sehingga tentera Athens yang mempertahankan kota tersebut akhirnya menyerah diri kepada pasukan Omer Bey pada Jun 1458.
Kemenangan di Kota Athens telah berjaya menebus kembali maruah dan moral tentera Janissaries pada ketika itu. Sultan Mehmed Al Fateh bergegas ke Athens dan beliau telah diberi amanah oleh Rahib Kaiserani. Sultan Mehmed Al Fateh melantik Omer Bey sebagai Gabenor di Athens dan membina sebuah Masjid Jamik di Athens sebagai tanda kemenangan yang sudah menjadi tradisi Sultan Turki Uthmaniyyah. Pada tahun 1461, Sultan Mehmed Al Fateh juga berjaya menakluki Trebizond iaitu kerajaan Kristian Ortodoks yang mengawal kawasan Lautan Hitam. Oleh itu, Sultan Mehmed memerangi Tribezond sehingga Maharaja David menyerah kalah pada 15 Ogos 1461. Kejayaan Sultan Mehmed Al Fateh mengelarkan diri beliau sebagai “Penguasa antara dua benua dan lautan”. Pada mulanya, Sultan Mehmed Al Fateh membiarkan Maharaja David dan keluarganya hidup dengan bebas. Namun, Sultan Mehmed Al Fateh menjatuhkan hukuman mati ke atas Maharaja David dan seluruh kaum lelaki daripada kerabat diraja Tribezond. Hanya kaum wanita serta permaisuri Maharaja David dan kaum wanita kerabat diraja Tribezond dibiarkan hidup.
Pada tahun 1462, Vlad the Impaler atau dikenali sebagai Dracula telah melancarkan kempen peperangan menentang Sultan Mehmed Al Fateh. Beliau dikenali sebagai Dracula disebabkan suka menjatuhkan hukuman sula keatas penjenayah dan musuh. Kegerunan ke atas kekejaman hukuman beliau telah berjaya menurunkan kadar jenayah di negara Romania. Drakula amat memusuhi Empayar Turki Uthmaniyyah disebabkan ingin membebaskan Romania daripada penjajahan Empayar Turki Uthmaniyyah. Semasa berusia 17 tahun, Drakula telah dibantu oleh tentera Turki Uthmaniyyah dibawah pimpinan Mustafa Hassan Pasha. Namun, beliau mengkhianati Mustafa Hassan Pasha dan memburu beliau daripada wilayah Romania. Pada ketika itu pada zaman Sultan Murad II Han.
Dracula telah mencabar untuk memerangi Sultan Mehmed Al Fateh setelah berjaya memenangi beberapa kempen peperangan. Sultan Mehmed Al Fateh tercabar dengan tindakan Dracula lalu melancarkan serangan penuh keatas Romania. Selain itu, Sultan Mehmed Al Fateh sudah lama teringin menakluki wilayah Romania yang berjaya melepaskan diri daripada penguasaan Empayar Turki Uthmaniyyah. Namun, Dracula kalah dalam peperangan menentang tentera Sultan Mehmed Al Fateh sehingga mereka terpaksa membakar beberapa buah kampung dan meracuni telaga air agar pihak musuh tidak mendapat sebarang bekalan air dan makanan.
Teknik ini dinamakan sebagai “Scorched Earth” iaitu teknik untuk membakar sesuatu tempat agar pihak musuh tidak dapat memanfaatkan sedikitpun bekalan yang ditinggalkan. Sebenarnya ia merupakan strategi Dracula untuk melemahkan kekuatan tentera Turki Uthmaniyyah. Oleh itu, tentera Turki Uthmaniyyah dalam keadaan kepenatan sehingga tidak mampu untuk melawan lagi. Dracula mengambil kesempatan untuk menyerang bala tentera Turki Uthmaniyyah. Beliau menggunakan hukuman sula keatas tentera Turki Uthmaniyyah sehingga ia menimbulkan trauma yang begitu mendalam dikalangan pegawai tentera Turki Uthmaniyyah. Sultan Mehmed Al Fateh terpaksa mengaku kekalahan tersebut dan akhirnya meninggalkan Romania.
Namun begitu, Sultan Mehmed Al Fateh tidak berputus asa dengan menggunakan Radu, saudara kepada Dracula yang dikatakan memeluk agama Islam untuk memerangi Dracula. Radu telah mengepung tentera Dracula sehingga Sungai Arges. Radu juga berjaya menangkap permaisuri Dracula. Dracula pula berjaya meloloskan diri daripada tahanan tentera Turki Uthmaniyyah dengan melalui jalan tikus yang dibantu oleh para petani yang tinggal di kampung Arefu. Dracula berjaya menemui Raja Hungary yang baru sahaja ditabalkan iaitu Matthias Corvinus. Namun, Raja Matthias Corvinus telah menghumban Dracula ke dalam penjara sehingga tahun 1475. Beliau ditabalkan Putera Wallachia Romania semula sehingga beliau dibunuh pada tahun 1476.
Sultan Mehmed Al Fateh begitu terkenal sekali dengan kejayaan beliau dalam penaklukan. Namun begitu, Sultan Mehmed Al Fateh telah melaksanakan satu undang – undang yang akan memberi kesan kepada masa hadapan Empayar Turki Uthmaniyyah. Dalam pemikiran politik Turki Uthmaniyyah, terdapat satu kata metaphor daripada kata – kata Nabi s.a.w kepada pemimpin yang mengatakan “Tidaklah Allah mengutus seorang nabi kecuali telah menggembalakan kambing.” Selain itu, kata – kata hikmah yang dinyatakan buku “Murad Nama” yang didedikasikan kepada Sultan Murad II sesiapa yang ingin menjadi pemerintah dunia maka ia perlu menjadi pengembala. Begitu besar sekali tanggungjawab seorang pemimpin kerana ia melibatkan keseluruhan rakyat yang diperintahnya.
Oleh itu, Sultan Mehmed Al Fateh telah merangka satu undang – undang iaitu membenarkan putera yang ditabalkan menjadi Sultan untuk membunuh semua putera – putera yang lain supaya tiada pemberontakan yang akan berlaku didalam Empayar pada masa yang akan datang. Walaupun amalan pembunuhan putera adalah salah, namun ia merupakan satu keperluan pada ketika itu bagi mengelak fitnah yang lebih besar melanda keatas umat Islam. Amalan ini juga telah diakui oleh beberapa ulama yang hidup pada zaman Turki Uthmaniyyah seperti Karmi yang merupakan ulama mazhab Hambali dari Syria mengatakan amalan ini sebenarnya adalah memberi manfaat yang besar kepada umat Islam dimana ancaman Perang Salib ketika itu merupakan ancaman yang terbesar. Maka, Empayar Turki Uthmaniyyah merupakan satu payung yang akan melindungi umat Islam daripada ancaman tersebut. Beliau menambah lagi orang biasa mungkin tidak mengerti hikmah disebalik amalan tersebut. Karmi juga mengatakan Kesultanan Morocco jatuh disebabkan tidak mengamalkan amalan pembunuhan putera.
Sultan Mehmed Al Fateh akhirnya wafat pada tahun 1481 dan takhta Sultan Turki Uthmaniyyah diwarisi kepada Sultan Bayazid II Han. Kejatuhan kota Konstantinopel telah memberi kesedaran kepada benua Eropah dimana perpecahan dikalangan mereka tidak menguntungkan dan akhirnya kerajaan Aragon dan Castilla bergabung membentuk kerajaan Sepanyol berjaya menakluki kerajaan Islam yang terakhir di Sepanyol iaitu Andalusia. Pada waktu itu juga Eropah mencari jalan alternatif untuk ke Timur sehingga tercetus pelayaran Colombus ke benua Amerika. Kejatuhan kota Konstantinopel sebenarnya satu titik permulaan kepada dunia moden dimana kebangkitan kuasa koloni Eropah dan amat tidak keterlaluan mengatakan ada hubung kait dengan kejatuhan kota Melaka pada tahun 1511.
Comments
Post a Comment