Aedes Membawa Maut!!
By: Abang McD
Image result for aedes

Pada musim cuaca sebegini, pelbagai penyakit mudah datang kepada kita. Antaranya adalah seperti penyakit denggi. Penyakit Denggi adalah sejenis penyakit berjangkit yang disebabkan oleh virus Denggi yang dibawa melalui gigitan nyamuk aedes.

Nyamuk aedes boleh dikenali dengan terdapatnya berbelang hitam putih di badan dan kakinya. Ia aktif mengigit pada awal pagi iaitu dari jam 5:00 hingga 7:00 pagi dan waktu senja dari jam 5:00 hingga 7:00 petang. Nyamuk aedes membiak di dalam air yang bertakung di dalam dan di luar bangunan. Kitaran hidup aedes ialah 7 hari iaitu bermula dari telur, jentik-jentik, kepompong, dan seterusnya menjadi nyamuk dewasa.

Demam Denggi boleh dikesan dengan melihat tanda-tanda seperti demam kuat secara mengejut, ruam merah pada kulit, sengal-sengal otot, biji mata dan kepala serta pendarahan pada badan, hidung, dan mulut.

Demam Denggi dapat dikawal sekiranya mengamalkan kebersihan persekitaran kawasan kediaman dengan menghapuskan tempat-tempat pembiakan nyamuk Aedes seperti berikut:-

1.      Buang semua bekas yang boleh menakung air hujan seperti botol, tin kosong, bekas bungkusan makanan, tayar terpakai dan sebagainya.

2.      Tutup semua bekas menyimpan air dengan rapat bagi mengawal dan mencegah nyamuk Aedes daripada bertelur dan membiak.

3.      Tukar air dan basuh bekas takungan air sehingga bersih sebelum mengisi air yang baru dalam bekas menyimpan.

4.      Buang air dalam alas pasu bunga setiap minggu untuk memusnahkan telur nyamuk.

Abate adalah sejenis racun untuk membunuh jentik-jentik nyamuk aedes yang mudah didapati dan selamat digunakan. Racun Abate boleh dimasukkan ke dalam semua bekas takungan yang tidak dapat dicuci seperti tangki air, kolah air, pasu bunga dan sebagainya untuk membunuh jentik-jentik nyamuk aedes membiak menjadi nyamuk dewasa. Racun Abate dimasukkan ke dalam bekas takungan air lebih kurang 3 bulan sekali atau apabila bekas tersebut dibersih dan airnya diganti.


Image result for aedes

Cara mengawal gigitan nyamuk aedes dewasa adalah seperti menggunakan racun serangga, pasang jaring di tingkap, dan semburan kabus (fogging) akan dilakukan oleh pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) atau Jabatan Kesihatan Malaysia. Walau bagaimanapun, cara yang paling berkesan adalah dengan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk Aedes seperti kolah air, pasu bunga, tangki septi, dan lain-lain.

Untuk itu, MBI menasihatkan orang ramai dan warga kota semua supaya menjaga kebersihan kawasan kediaman mereka agar bebas daripada tempat pembiakan nyamuk aedes. MBI akan sentiasa memantau dan membuat pemeriksaan susulan di kawasan-kawasan dalam bidangkuasa MBI.

Antara langkah-langkah pencegahan yang akan dilaksanakan oleh MBI adalah seperti berikut:-

1.      Pemeriksaan Rumah ke Rumah
2.      Ceramah
3.      Semburan Kabus (Fogging)
4.      Gotong –Royong
5.      Mengagih Racun Pembunuh Jentik-Jentik (Abate)
6.      Larvaciding
7.      Pengagihan Risalah

Justeru, pihak MBI akan memantau dan membuat pemeriksaan susulan ke tempat-tempat berpotensi terlibat. Sekiranya keadaan masih tidak berubah, tindakan undang-undang akan dikenakan kepada mereka yang tidak mematuhi arahan ini. Keengganan untuk memberi kerjasama kepada Pegawai Kesihatan Persekitaran MBI bagi menjalankan langkah-langkah pencegahan dan pengawalan adalah merupakan satu kesalahan di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit, 1975.



Kerjasama daripada semua pihak serta warga kota amatlah diharapkan agar kawasan persekitaran bersih dan bebas daripada Denggi. Denggi boleh membawa maut sekiranya kita tidak menangani dengan lebih awal. Musnahkan tempat-tempat pembiakan nyamuk aedes. Justeru itu, semua pihak haruslah bekerjasama dalam mencegah penularan demam denggi. Mencegah lebih baik daripada mengubati. Luangkan masa 10 minit setiap minggu untuk mencegah tempat pembiakan Aedes.

“TIADA AEDES, TIADA DENGGI”

Comments

Popular Posts